Jangan Bebankan Lagi Kanak-kanak

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini memberi cadangan supaya simulasi pilihan raya dilaksanakan di peringkat sekolah.

Ujarnya, simulasi pilihan raya seperti pemilihan ketua kelas akan membuka ruang kepada para guru untuk mendidik anak murid mereka berhubung pemilihan pemimpin yang baik.

Syed Saddiq turut mencadangkan agar beberapa subjek diperkenalkan bagi memahami Perlembagaan dan Rukun Negara.

Jelasnya, kanak-kanak perlu mendapat informasi tentang isu politik termasuk isu perubahan iklim, pendidikan atau peluang pekerjaan.

Semua cadangan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Undi18 yang sudah dijalankan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN Johor).

Sumber: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2022/12/29/teachers-union-calls-for-electoral-system-to-be-taught-in-schools/47501

Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak seharusnya dibebani dengan silibus pendidikan yang terlalu berat dan sukar untuk difahami.

Kanak-kanak pada peringkat usia berkenaan perlu mempelajari perkara asas berkaitan kemahiran hidup terlebih dahulu.

Silibus sedemikian yang diajar oleh negara-negara maju seperti Norway dan Finland.

Sistem pendidikan negara ini masih belum berada pada tahap seperti negara maju dan kekal mengamalkan konsep pembelajaran yang terlalu statik.

Di negara-negara maju lain, mereka mengamalkan konsep 'bermain sambil belajar' selain memberikan markah mengikut penglibatan murid di dalam kelas.

Sewajarnya silibus seperti itu perlu diberi penekanan berbanding mengajar kanak-kanak yang masih belum mencapai kematangan pemikiran untuk mendalami isu politik.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/12/1043621/perkasa-sahsiah-emosi-murid-hadapi-kepesatan-ilmu

Perkembangan teknologi yang pesat di negara ini menyumbang kepada pertumbuhan dari aspek pengetahuan kanak-kanak.

Pelbagai informasi yang diperlukan boleh dipelajari dengan mudah oleh kanak-kanak menerusi Internet.

Pada usia kanak-kanak, golongan berkenaan mempunyai keupayaan untuk menyerap segala yang dipelajari dan mengadunkannya ke dalam tingkah laku, emosi serta pemikiran mereka.

Justeru, tanpa pembelajaran silibus tentang simulasi pilihan raya sekali pun, pemikiran kanak-kanak pada masa kini lebih cepat matang dan mampu berfikir dengan baik.

Pelbagai medium dalam Internet menyediakan segala maklumat tentang pilihan raya atau isu-isu politik lain.

Kanak-kanak perlu diberi kebebasan untuk mempelajari apa yang mereka mahu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2023/01/1047412/pembelajaran-dalam-talian-masih-relevan

Pendekatan untuk melaksanakan silibus sedemikian seolah-olah menjalankan indoktrinasi kepada kanak-kanak.

Kemampuan untuk memilih seorang pemimpin dipengaruhi pelbagai faktor.

Tidak semestinya hari ini kita mengajar kanak-kanak untuk suka seseorang pemimpin politik, dia akan suka selama-lamanya.

Pengaruh keluarga, pengaruh media massa, pengaruh media sosial dan perkembangan politik semasa merupakan penyumbang utama dalam memilih seorang pemimpin politik.

Maka, tidak wajar untuk menjalankan silibus seumpama itu kepada kanak-kanak atas pelbagai faktor selain kurang relevan.

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/autonomi-pendidikan-berjaya-di-negara-maju/

Biarkan kanak-kanak melalui proses pembelajaran tanpa sebarang tekanan.

Memang sifatnya sebagai seorang kanak-kanak untuk bermain. Hanya melalui cara sedemikian, kanak-kanak dapat mempelajari ilmu baharu.

Amalkan sistem pembelajaran yang lebih relevan sejajar dengan hasrat negara untuk memajukan pendidikan ke tahap global.

Jangan terlalu menekan kanak-kanak demi kepentingan politik kerana sampai masanya, kanak-kanak itu yang bakal membesar sebagai seorang dewasa, cukup matang membuat pilihannya sendiri.

Bebanan silibus pendidikan seharusnya perlu diringankan, bukan ditambah.

Comments