Syed Saddiq Perlu Matangkan Diri

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipilih menjadi wakil rakyat buat penggal kedua berturut-turut.

Syed Saddiq kekal mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selepas berjaya meraih undi sebanyak 19,961 pada Pilihan Raya Umum (PRU) November lalu.

Dia mengetepikan dua pencabar daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Syed Saddiq tampaknya semakin diterima oleh penduduk Muar meskipun wujud pelbagai cerita kurang enak tentang dirinya sebelum ini.

Terbaharu, Syed Saddiq mencipta gelagat yang kurang elok dan sempat dirakam ketika Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sumber: https://www.agendadaily.com/video/video-syed-saddiq-tak-hormat-majlis-angkat-sumpah/

Sebagai seorang wakil rakyat selama dua penggal selain pernah menjawat portfolio Menteri, Syed Saddiq seharusnya sedia maklum tentang tatacara dan perlakuan di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq tidak sewajarnya menunjukkan kelakuan yang kurang matang ketika Ahli Parlimen lain sedang berucap.

Dewan Rakyat mempunyai kod etika yang perlu dipatuhi dan memiliki Speaker yang perlu dihormati sepanjang keberadaan di dalam Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat bukanlah majlis perhimpunan mingguan di sekolah. Dewan Rakyat mempunyai fungsi tertinggi dalam pentadbiran negara dalam sebarang urusan penggubalan dasar-dasar negara untuk kepentingan rakyat.

Menjadi seorang wakil rakyat yang menjadi tatapan setiap rakyat Malaysia, Syed Saddiq perlu menunjukkan tahap profesionalisme tertinggi.

Figura awam seperti Syed Saddiq perlu menjadi contoh kepada mereka yang melihatnya atau pemimpin-pemimpin muda lain yang kurang berpengalaman.

Kelakuan seperti berborak atau bergelak ketawa ketika Ahli Parlimen lain sedang berucap, bukan satu sikap terpuji yang patut dicontohi.

Sumber: https://www.agendadaily.com/politik/syed-saddiq-dikecam-tak-hormat-rakan-baharu-angkat-sumpah/

Sebagai wakil rakyat, fokus utama Syed Saddiq adalah untuk memperincikan segala perancangan untuk penduduk Muar.

Tambahan pula, musim banjir pada hujung tahun merupakan satu tempoh kritikal bagi wakil rakyat seperti Syed Saddiq.

Wakil rakyat seperti Syed Saddiq akan dinilai tahap kemampuannya dalam menghulurkan bantuan secepat mungkin khususnya ketika bencana berlaku.

Usaha-usaha seumpama itu akan memberikan markah kepada petunjuk prestasi utama (KPI) Syed Saddiq sebagai wakil rakyat.

Sebaliknya, Syed Saddiq lebih berminat untuk 'bergurau senda' dengan golongan warganet berhubung videonya bermain badminton.

Kita memahami usaha Syed Saddiq untuk menjadi lebih 'mesra rakyat' dengan warganet namun sebenarnya tidak perlu sampai ke tahap itu.

Imej yang dibawa Syed Saddiq ketika ini terlalu kebudak-budakan, mengikut bahasa kasarnya.

Sumber: https://worldofbuzz.com/syed-saddiq-posts-new-video-of-his-badminton-skills-after-being-teased/

Syed Saddiq perlu lebih serius dalam kerjayanya sebagai seorang wakil rakyat.

Sebelum ini, Syed Saddiq mendakwa tidak diberi cukup masa untuk membuktikan sesuatu kepada rakyat.

Alasan itu sudah lapuk dan tidak boleh dipakai lagi selepas ini.

Syed Saddiq perlu tekan 'gear' segera dan memberikan segala yang dimahukan oleh penduduk Muar.

Syed Saddiq juga perlu menjalani kursus perundingan imej secara peribadi bagi memperkemaskan lagi imejnya sebagai seorang wakil rakyat.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/170240/berita/politik/syed-saddiq-tidak-matang-hanya-bermain-persepsi

Wakil rakyat memikul tanggungjawab berat, membawa suara hati para penduduk sesuatu kawasan yang diwakilinya untuk didengari di peringkat atasan.

Bukan masa lagi untuk bermain, Syed Saddiq. Ini masa untuk serius kerana banyak lagi cabaran bakal dihadapi oleh negara pada tahun-tahun mendatang.

Peluang kedua sudah diberikan, buktikan sesuatu kepada rakyat.

Hentikan perangai kurang matang anda dan belajar untuk lebih bersikap profesional seperti seorang wakil rakyat sebenar.

Comments