Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd melibatkan kira-kira RM200 juta.
Pihak pendakwaan pada mulanya memohon supaya Muhyiddin diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) selepas memutuskan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan tersebut.
Namun, mahkamah kemudian memberikan pelepasan dan pembebasan penuh terhadap empat pertuduhan berkenaan.
Dalam politik, persoalan jarang berhenti pada isu undang-undang sahaja.
Masalahnya ialah masa keputusan itu berlaku.
Ketika keputusan terhadap Muhyiddin dibuat, landskap politik negara sedang berubah dengan pantas.
Kedudukan Bersatu dalam blok pembangkang semakin menjadi tanda tanya.
Pada masa sama, timbul pula spekulasi bahawa Bersatu mungkin mencari ruang hubungan baharu dengan Pakatan Harapan (PH).
Politik Malaysia sedang melalui satu lagi fasa perubahan.
Bersatu tidak berada dalam keadaan politik yang sama seperti beberapa tahun lalu.
Hubungan dalam blok pembangkang berubah, kepimpinan berubah dan strategi menuju pilihan raya akan datang juga sedang dinilai semula.
Kemunculan nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam struktur kepimpinan Bersatu turut menimbulkan persoalan tentang kemungkinan hubungan politik yang lebih fleksibel dengan bekas rakan-rakannya dalam PKR dan PH.
Setakat ini, tidak ada bukti bahawa Bersatu dan PH sudah mencapai sebarang persetujuan.
Belum ada 'perkahwinan politik'. Kad jemputan pun belum dicetak.
Namun kalau orang ramai mula bertanya sama ada 'rombongan merisik' sudah dihantar, persoalan itu bukan muncul daripada ruang kosong.
Sebab itulah keputusan terhadap Muhyiddin mudah dibaca melalui kaca mata politik.
Bukan kerana keputusan itu semestinya dibuat atas arahan politik namun kerana politik di sekelilingnya sedang terlalu cair.
Kalau pertuduhan ditarik balik kerana bukti tidak mencukupi, jelaskan.
Kalau terdapat perkembangan baharu dalam kes, jelaskan.
Kalau kelemahan teknikal menyebabkan pendakwaan tidak lagi boleh diteruskan, jelaskan.
Itulah cara paling mudah untuk menutup ruang spekulasi.
Masalah timbul apabila keputusan besar berlaku tanpa penerangan awam yang cukup kuat, sedangkan pada masa sama parti-parti politik sedang sibuk mengubah kedudukan masing-masing.
PH sudah bertahun-tahun membawa agenda reformasi institusi.
Antara isu yang paling penting ialah pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Isu itu bukan perkara teknikal yang hanya difahami peguam namun berkaitan terus dengan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
Peguam Negara berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan.
Pendakwa Raya pula mempunyai kuasa besar dalam menentukan sama ada seseorang akan didakwa, pertuduhan diteruskan atau sesuatu kes tidak diteruskan.
Apabila kedua-dua fungsi berada dalam struktur yang sama, persepsi mengenai kemungkinan pengaruh politik akan sentiasa muncul, lebih-lebih lagi apabila kes melibatkan ahli politik berprofil tinggi.
Sebab itu reformasi tersebut sudah lama diperkatakan. Masalahnya, reformasi itu masih belum selesai sepenuhnya.
Rakyat sudah lama mendengar ayat yang sama. Reformasi sedang berjalan.
Tunggu. Proses sedang dibuat. Pindaan sedang dikaji. Konsultasi sedang berlangsung. Sidang Dewan Rakyat berikutnya.
Selepas itu mungkin sidang seterusnya pula.
Kalau lambat sangat, mungkin manifesto pilihan raya baharu keluar dahulu.
Itulah masalah sebenar.
Apabila kerajaan sendiri mengakui struktur sedia ada perlu direformasi, jangan terkejut kalau rakyat turut mempersoalkan keputusan yang berlaku ketika struktur lama masih digunakan.
SUMBER: utusan.com.my/nasional/2026/05/kerjasama-bersatu-ph-tidak-masuk-akal-tun-faisal
Politik Malaysia sudah banyak kali membuktikan satu perkara iaitu musuh hari ini belum tentu kekal menjadi musuh esok.
Dulu saling menyerang. Dulu saling menuduh. Dulu kata tidak mungkin bekerjasama.
Tetapi apabila angka kerusi, survival politik dan kepentingan pilihan raya mula dikira, nada boleh berubah dengan cepat.
Sebab itu, apabila Bersatu dan PH kembali dikaitkan dengan kemungkinan penjajaran politik baharu, rakyat memang mempunyai sebab untuk memerhati dengan lebih dekat.
Dalam politik, hubungan jarang bermula dengan pengumuman besar. Biasanya bermula dengan kenyataan yang semakin lembut.
Kemudian muncul ayat seperti 'politik ini dinamik'. Selepas itu, 'tiada musuh kekal'. Kemudian 'demi kestabilan negara'.
Akhirnya, mereka yang bertahun-tahun saling menyerang boleh duduk satu meja dan berkata semuanya dilakukan demi rakyat.
Begitulah politik. Disebabkan itulah keputusan terhadap empat pertuduhan Muhyiddin menjadi semakin menarik untuk diperhatikan.
Kalau satu hari nanti PH memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu atas alasan strategi politik, itu hak mereka sebagai parti.
Namun rakyat juga mempunyai hak untuk bertanya, apa jadi kepada segala tuduhan dan kritikan sebelum ini?
Apa jadi kepada naratif pengkhianatan?
Apa jadi kepada prinsip yang selama ini digunakan untuk menyerang satu sama lain?
Adakah semuanya boleh dilupakan sebegitu sahaja apabila matematik pilihan raya berubah?
Kalau jawapannya ya, jangan salahkan rakyat kalau mereka semakin sinis terhadap politik negara.
Comments
Post a Comment